MUKA DEPAN | SEJARAH | CARTA ORGANISASI | AKTIVITI / PELAJARAN | BERITA BERGAMBAR | AMANAT MAHAGURU | LINKS
![]() |
![]() |
![]()
Seni silat adalah
sejenis ilmu bela diri yang diakui umum sebagai hak asli kepunyaan bangsa
Melayu. Berdasarkan bukti penemuan tinggalan sejarah yang terdapat di Candi
Borobodur dan Candi Prambanan di Jawa, dapatlah disimpulkan bahawa sudah wujud
sistem bela diri di kawasan kepulauan Melayu pada abad ke-8 Masihi. Bermula dari
kepulauan Riau, sistem bela diri ini dikatakan merebak ke Minangkabau, Sumatera.
Di Sumatera, sistem bela diri ini diperhalusi lagi dan dikenal sebagai Pencak
Silat. Ilmu silat ini pernah digunakan oleh kerajaan Srivijaya(abad ke-7 hingga
abad ke-14) untuk memperluaskan empayarnya. Pada zaman kekuasaan Majapahit(abad
ke-13 hingga abad ke-16), ilmu silat dikatakan telah mencapai kemuncak
kesempurnaannya apabila penggunaan senjata disertakan.
Dari Minangkabau, silat
diperkenalkan di Semenanjung Tanah Melayu melalui Melaka. Dalam zaman Kesultanan
Melayu Melaka, hanya golongan yang rapat dengan istana sahaja diberikan peluang
untuk mempelajari silat. Seni silat ini akhirnya sampai ke pengetahuan rakyat
jelata dan seterusnya menjadi suatu kesenian desa. Laksamana HangTuah(Bapa
Persilatan Melayu) dikatakan mempelajari seni silat daripada Sang Adi Putera di
Gunung Ledang dan Sang Persanta Nala di Pulau Jawa(Majapahit). Silat Seni Gayong dikatakan telah wujud sejak zaman
Kesultanan Melayu Melaka lagi, iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Mansor Syah.
Selepas kejatuhan Melaka ke tangan Feringgi(Portugis) pada tahun 1511,
hulubalang-hulubalang Melaka yang diketuai oleh Tun Biajid(anak Laksamana Hang
Tuah) telah berundur ke dalam hutan dan seterusnya melakukan serangan gerila
terhadap angkatan Portugis. Ilmu Silat Seni Gayong inilah yang telah digunakan
oleh Tun Biajid dan orang-orangnya ketika menentang Portugis. Walaupun terpaksa
berundur ke dalam hutan, hulubalang-hulubalang Melaka ini masih mampu menyusun
suatu barisan penggempur (boleh disamakan dengan gerakan gerila) yang berpegang
kepada tekad iaitu berimau-rimau, berimba-rimba dan bergayong.
Disebabkan kedudukan
Portugis terlalu kuat ketika itu, Tun Biajid dan orang-orangnya terpaksa
berundur hinggalah ke negeri Pahang, untuk mencari perlindungan. Di Pahang, ilmu
Silat Seni Gayong ini terus hidup diwarisi
oleh generasi demi generasi sehinggalah sampai ke tangan Tuan Syed Zainal
Al-Attas, iaitu seorang hulubalang Pahang yang hidup sezaman dengan Dato'
Bahaman dan Mat Kilau. Ada suatu kisah yang
menceritakan bahawa pada zaman pemerintahan Portugis di Melaka, telah diadakan
majlis keramaian tiap-tiap tahun yang dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat.
Pemerintah Portugis telah mengadakan suatu pertandingan seni persembahan budaya
masyarakat setempat dan memberikan ganjaran yang besar kepada pemenangnya. Dalam
kategori persembahan silat, pesilat yang menunjukkan persembahan yang dianggap
membahayakan telah dikumpulkan setempat dan diasingkan daripada pesilat yang
mempersembahkan silat pulut yang diiringi oleh bunyi-bunyian seperti gendang.
Pesilat-pesilat yang membawakan silat yang berbahaya ini telah ditangkap secara
sulit lalu dirantai dan dibawa ke tengah laut dengan perahu untuk dibunuh,
kerana pemerintah Portugis bimbang bahawa mereka boleh mengancam kedudukan
Portugis di bumi Melaka. Ketika berada di tengah laut, dengan izin Allah dan
berkat ilmu Silat Seni Gayong, rantai yang mengikat hulubalang-hulubalang Melaka
itu telah berjaya diputuskan, dan hulubalang-hulubalang Melaka ini telah melawan
dan berjaya menumpaskan pengawal-pengawal Portugis yang mengawal mereka. Kerana
bimbangkan keselamatan mereka selepas daripada peristiwa itu,
hulubalang-hulubalang Melaka ini telah mengambil keputusan untuk belayar ke
merata-rata gugusan kepulauan Melayu untuk mencari perlindungan. Sesetengah
daripada hulubalang Melaka ini telah mendarat di Makasar lalu menetap di situ.
Di Makasar ini, ilmu Silat Seni Gayong telah
berkembang dengan meluas, terutamanya di kalangan bangsawan Bugis. Orang-orang
Bugis inilah yang bertanggungjawab menghidupkan semula kesenian lama ini di
Tanah Melayu. Ada suatu riwayat yang masyhur
berkenaan tujuh orang anak raja tanah Bugis yang sangat-sangat ditakuti dan
dihormati di seluruh Makasar, Riau, Siak dan juga pulau-pulau yang berhampiran,
kerana kegagahan dan keperkasaan mereka yang tiada tolok bandingnya ketika itu.
Mereka telah belayar meninggalkan tanah Bugis dan menjelajah ke serata kepulauan
Melayu untuk mencari kawasan penempatan yang baru. Salah seorang dari putera
Bugis itu ialah Almarhum Daeng Kuning atau lebih dikenali sebagai Panglima
Hitam. Daeng Kuning ialah moyang kepada Dato' Meor Abdul
Rahman, Mahaguru Silat Seni Gayong.
Syed Zainal mempelajari ilmu Silat Seni Gayong daripada Daeng Ambok Solok,
seorang pahlawan berketurunan Bugis dan mempunyai tali persaudaraan dengan Daeng
Kuning. |
![]() |
![]() |
|