MUKA DEPAN | SEJARAH | CARTA ORGANISASI | AKTIVITI / PELAJARAN | BERITA BERGAMBAR | AMANAT MAHAGURU | LINKS

SEJARAH PSSGWSM

sswbkecil.jpg

 

 

                Pertubuhan Seni Silat Gayong Warisan Serantau Malaysia atau akronimnya P.S.S.G.W.S.M. didaftarkan secara rasmi pada bulan Ogos 1994 dibawah pendaftaran 1244/94 Kedah. Pertubuhan yang beribu-pejabat di Alor Setar, Kedah Darul Aman dan mempunyai pusat latihan utama di Gelanggang Dato' Meor Rahman, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh, Perak Darul Ridzuan merupakan salah sebuah pertubuhan utama yang mempraktik dan mengembangkan Silat Seni Gayong yang diasas serta dikembangkan oleh Allahyarham Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mat Hashim. Pendukung-pendukung utama P.S.S.G.W.S.M. yang bergerak aktif di bahagian utara Semenanjung adalah diantara orang-orang kepercayaan serta murid-murid terkenal Allahyarham Mahaguru.

 

Mengenal Gayong


Perkataan SILAT itu pada umumnya bolehlah difahamkan sebagai suatu teknik pembawaan bunga-bunga tarian pelajaran GAYONG, dan pelajaran GAYONG itu pula dimaksudkan kepada buahnya yang sebenar, yang mengandungi hikmat-hikmat kesaktian yang menakjubkan, kepantasan yang luar biasa dan kepintaran yang mengelirukan, yang terkandung di dalam kandungan gerak semula jadi, iaitu pergerakan pantas secara automatik. GAYONG yang mengandungi pelajaran sepak-menyepak, tumbuk-menumbuk, tikam-menikam, tangkap-menangkap, hempas-menghempas, buang-membuang, sekat-menyekat, elak-mengelak, hadang-menghadang, tangkis-menangkis dan seumpamanya lagi itu adalah menjadi pakaian keperwiraan kepada setiap lelaki dan wanita. Pelajaran ini amatlah berguna dalam masa kecemasan bagi mempertahankan diri sebagai perisai untuk mengelakkan serangan musuh atau lawan. Dalam suatu pertarungan yang menggunakan sepenuh tenaga kekuatan, kepantasan, kecekapan, keazaman, dan kepintaran masing-masing untuk mengalahkan lawannya, sama ada dengan menggunakan senjata ataupun tanpa menggunakan senjata, maka di dalam pertarungan yang seumpama itu biasanya dinamakan GAYONG. Tetapi pelajaran SILAT yang dimaksudkan kepada bunga-bunga tarian bagi pelajaran GAYONG itu adalah lebih merupakan pertunjukan atau persembahan yang tertentu, umpamanya untuk menyerikan sesuatu majlis keramaian, atau kerana sesuatu upacara istiadat di dalam kebudayaan Melayu. Maka di dalam pertunjukan yang seumpama itu, tidaklah persembahan itu lebih merupakan suatu pertarungan yang sungguh-sungguh berlaku di situ, malah hanya persembahan itu lebih merupakan sebagai satu daripada ciri perlawanan yang dipersembahkan secara imbasan pertarungan yang dipenuhi dengan keindahan dan kesenian bunga-bunga tarian dalam pelajaran GAYONG yang disampaikan dengan penuh ketenangan jiwa, sabar, bertatatertib, tidak melanggar kesopanan dan kesusilaan dan tertakluk pula kepada taraf majlis di mana persembahan itu diadakan. Persembahan seumpama itu dinamakan BERSILAT.

 

Maksud  perkataan GAYONG dalam ejaan jawi:

Ga - Genggam

Berpegang kepada janji setia dan ikrar yang telah dilafazkan. Juga bermaksud menjaga segala rahsia dan amanat yang diberikan.

Alif - Angkat

Meletakkan dan menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan dan tempat rujukan.

Ya - Yakin

Yakin kepada kebolehan diri sendiri

Wau - Waras

Membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum bertindak.

Nga - Ngeri

Bersungguh-sungguh dalam segala perbuatan. Dalam konteks latihan dan persembahan, kesungguhan ini digambarkan dalam kengerian orang lain yang menyaksikannya.

 

Warna-Warna GAYONG:

Hitam

Bayang-bayang/Rahsia - Merupakan sosiostatus manusia yang tidak membezakan ahli-ahli silat dari segi warna kulit dan darjat. Hitam juga membawa konotasi rahsia iaitu ilmu Silat Seni Gayong mempunyai pelbagai rahsianya (...rahsia tersimpan di purbakala,ilham menyusun zahir semula.)

Kuning

Beraja/berdaulat - Silat Seni Gayong adalah seni mempertahankan diri warisan bangsa Melayu.

Merah

Berani/Kepahlawanan - Setiap ahli dipupuk semangat berani menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Ahli Gayong juga bersemangatkan darah kepahlawanan.

Petua Langkah Gayong/Langkah Laksamana/Langkah Hang Tuah

Lambang Gayong

Lambang Gayong diilhamkan oleh Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman dan telah dilukis oleh Pendita Za'ba di Singapura. Lambang Gayong asal terdiri daripada seekor naga sahaja. Pada lambang Gayong terdapat perkara-perkara berikut:

1.     

 

1.    Bulan bintang di puncak dunia - melambangkan agama Islam menjadi teras persilatan ini.

2.      Bejana air - ia berkaitan dengan falsafah Gayong yang intipatinya membawa erti bersatu-padu dalam menegakkan yang hak.

3.      Naga - ia sebagai simbol yang berkaitan dengan proses kelahiran Dato' Meor Abdul Rahman. Naga yang melingkungi dunia yang kepalanya hampir bercantum dengan ekornya itu melambangkan ilmu Silat Seni Gayong akan terkenal di seluruh dunia. Lambang dua naga dicipta semasa hendak mendaftarkan Silat Seni Gayong sebagai mengenang jasa-jasa Meor Abdul Aziz, kekanda Mahaguru Dato Meor Abdul Rahman, mengembangkan Seni Gayong di negeri-negeri di bahagian utara tanah air.  PSSGWSM menggunakan lambang dua naga sebagai logo pertubuhan.

4.      Keris bersilang - melambangkan Semangat Tuah dan Semangat Jebat. Pada zaman keagungan Kesultanan Melayu Melaka, terdapat dua orang laksamana yang gagah berani iaitu Hang Tuah dan Hang Jebat. Hang Jebat mati sewaktu menjadi Laksamana. Jawatan Laksamana tidak diambil semula oleh Hang Tuah selepas kematian Hang Jebat. Keris dalam lambang tersebut adalah keris Tamingsari yang pernah digunakan oleh dua orang laksamana Melaka.

5.      Sundang - senjata yang melambangkan kepahlawanan.

6.      Selepang Kebesaran Gayong - melambangkan Silat Seni Gayong adalah bersendikan adat.

Tempat Sejarah Gayong

Terdapat empat tempat sejarah Gayong seperti yang pernah dinyatakan oleh Allahyarham Dato' Mahaguru, iaitu:

1.      Padang Antah Berantah di Beruas, Perak(tempat terdirinya kerajaan Gangga Negara)

2.      Padang Sanai di Kedah(kawasan Mahaguru dikhatamkan)

3.      Pulau Sudong di Singapura(tempat bermulanya Gayong diperkenalkan semula)

4.      Sedili di Johor(tempat "pengakhiran Gayong")

 

   

MUKA DEPAN | SEJARAH | CARTA ORGANISASI | AKTIVITI / PELAJARAN | BERITA BERGAMBAR | AMANAT MAHAGURU | LINKS

WEB MASTER