Make your own free website on Tripod.com

 

 

 

 

MUKA DEPAN | SEJARAH | CARTA ORGANISASI | AKTIVITI / PELAJARAN | BERITA BERGAMBAR | AMANAT MAHAGURU | LINKS

 
 
pssgwsm.jpg
 

LOGO PERTUBUHAN SENI SILAT GAYONG WARISAN SERANTAU MALAYSIA

PERTUBUHAN SENI SILAT GAYONG WARISAN SERANTAU MALAYSIA, NEGERI KELANTAN Beralamat Di :-
 
LOT 1184 KAMPONG DUSUN DURIAN,
16450 TAWANG, BACHOK,
KELANTAN DARUL NAIM.
 
    Pertubuhan ini telah didaftarkan dengan No. Pendaftaran PPM/PK/587/93/1244/94 (Kel) Mesyuarat Penubuhan Jawatan Kuasa Penaja PERTUBUHAN SENI SILAT GAYONG WARISAN SERANTAU MALAYSIA, NEGERI KELANTAN telah diadakan di CHALET SRI NIPAH, PANTAI NIPAH, 16300 BACHOK, KELANTAN Pada 19 SEPTEMBER 2003 Jam 0900 Malam. Pada 16 APRIL 2004, Jam 0300 Petang. Bertempat di CHALET SRI PANTAI, BACHOK, KELANTAN telah diadakan MESYUARAT AGONG KALI PERTAMA PERTUBUHAN SENI SILAT GAYONG WARISAN SERANTAU MALAYSIA, NEGERI KELANTAN.

SILAT GAYONG 

Seni Bela Diri dan Perisai Orang Melayu

Silat, Seni Beladiri MelayuSeni silat adalah sejenis ilmu bela diri yang diakui umum sebagai hak asli kepunyaan bangsa Melayu sebagai perisai diri. Berdasarkan bukti penemuan tinggalan sejarah yang terdapat di Candi Borobodur dan Candi Prambanan di Jawa, dapatlah disimpulkan bahawa sudah wujud seni mempertahankan diri ini di kawasan kepulauan Melayu pada abad ke-8 Masihi. Bermula dari kepulauan Riau, sistem bela diri ini dikatakan merebak ke Minangkabau, Sumatera. Di Sumatera, seni pertempuran ini diperhalusi lagi dan dikenali sebagai Pencak Silat. Ilmu silat ini pernah digunakan oleh kerajaan Srivijaya (abad ke-7 hingga abad ke-14) untuk memperluaskan empayarnya. Pada zaman kekuasaan Majapahit (abad ke-13 hingga abad ke-16), ilmu silat dikatakan telah mencapai kemuncak kesempurnaannya apabila penggunaan senjata disertakan.

Dari Minangkabau, silat diperkenalkan di Semenanjung Tanah Melayu melalui Melaka. Dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka, hanya golongan yang rapat dengan istana sahaja diberikan peluang untuk mempelajari silat. Seni silat ini akhirnya sampai ke pengetahuan rakyat jelata dan seterusnya menjadi suatu kesenian desa. Laksamana Hang Tuah (Bapa Persilatan Melayu) dikatakan mempelajari seni silat daripada Sang Adi Putera di Gunung Ledang dan Sang Persanta Nala di Pulau Jawa (Majapahit).

Untuk menyempurnakan ilmu silat pengamal mestilah menghayati falsafah yang terkandung di dalam ilmu tersebut. Pada zaman dulu hampir kesemua orang mengamalkan silat. Tetapi cuma beberapa yang layak digelar pendekar. Hanya mereka yang mempunyai keutuhan akhlak dan berhemah tinggi mampu mencapai tahap ini.

Pada zaman ini wujud beratus-ratus perguruan silat. Setiap perguruan mempunyai gaya dan caranya yang tersendiri. Tetapi umumnya asas silat ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu 'bunga' dan 'buah'. Seni bunga adalah gerak tari yang lembut dan gemalai sebagai gerak untuk mengelirukan lawan. Manakala buah pula adalah gerak langkah yang keras, padu dan padat untuk menumpaskan lawan. Tetapi ada perguruan yang tidak menghiraukan seni bunga dan hanya mengajar buah, contohnya seperti Silat Cekak. Anak muridnya dikehendaki berdiri tegak menghadapi lawan, pukul balas digunakan hanya ketika diserang dan itupun apabila pukulan sudah berada seinci dua dari badan.

Seni Silat Gayong dibawa ke Tanah Melayu (Malaysia) oleh seorang putera Bugis dari Kepulauan Sulawesi bernama Daeng Kuning atau digelar Panglima Hitam. Beliau bersama-sama dengan enam saudaranya bermastautin di Tanah Melayu di mana segala ilmu persilatan diturunkan kepada keturunannya. Pada masa ini pecahan ilmu tersebut boleh dilihat dengan wujudnya pelbagai perguruan gayong di Malaysia seperti Gayong Malaysia, Gayong Warisan dan Gayong Pesaka. Tapi yang paling utama ialah Silat Seni Gayong, tak kira Malaysia, Warisan ataupun Pusaka kerana kita adalah ANAK GAYONG yang mana dari satu asas iaitu Dato' Meor Rahman, cucu kepada Daeng Kuning yang digelar 'Mahaguru' oleh penuntut silat gayong. Antara mereka yang pernah mengamalkan silat gayong ialah allahyarham Mat Kilau, Dato' Bahaman dan Dato' Maharaja Lela.

 

Maksud Disebalik Perkataan Gayong


Pada zaman silam, hanya individu tertentu sahaja yang dapat menamatkan pengajian silat mereka dengan sempurna. Mereka ini sebenarnya telah memiliki sifat-sifat terpuji dan keikhlasan yang tinggi sehingga sanggup berkorban untuk agama, bangsa dan negara tanpa mengutamakan kepentingan diri sendiri. Sifat ini kemudiannya menjadi semakin subur dan terpimpin apabila mereka mendalami pelajaran dan falsafah seni silat. Bagi mereka yang belum mempunyai kualiti sedemikian, melalui seni silat mereka dididik dan diasuh sehingga mencapai tahap tersebut.

Perguruan seni silat pada hakikatnya ialah satu institusi pendidikan di mana manusia dibentuk dan dilentur untuk memiliki ketahanan mental dan fizikal yang maksimum. Pendekatan pendidikan seni silat sebagaimana yang diterangkan di atas merupakan kaedah yang utama oleh Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia. Sesungguhnya, falsafah pendidikan Silat Seni Gayong sejak dahulu lagi dirangka sebegitu rupa untuk melahirkan satu generasi yang berhemah tinggi dan berwawasan bagi memelihara kesucian agama Islam serta memimpin bangsa dan negara ke arah matlamat yang diredhai Allah S.W.T. Teras pendidikan Silat Seni Gayong pada dasarnya telah disimpul dalam kalimah Gayong itu sendiri: 
 
Gayong Jawi

Ga - Genggam

Berpegang kepada janji setia dan ikrar yang telah dilafazkan. Juga bermaksud menjaga segala rahsia dan amanat yang diberikan.

Alif - Angkat

Meletakkan dan menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan dan tempat rujukan.

Ya - Yakin

Yakin kepada kebolehan diri sendiri

Wau - Waras

Membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum bertindak.

Nga - Ngeri

Bersungguh-sungguh dalam segala perbuatan. Dalam konteks latihan dan persembahan, kesungguhan ini digambarkan dalam kengerian orang lain yang menyaksikannya.
 
Lima huruf diatas juga melambangkan lima prinsip asas yang menjadi rukun atau teras agama Islam iaitu mengucapkan dua kalimah Syahadah, menunaikan sembahyang fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di Mekah. Lima huruf yang membina kalimah Gayong itu juga menekankan bahawa seorang murid Gayong itu mestilah menjaga kewajipan mereka sebagai seorang Muslim dengan menegakkan tiang agama iaitu menunaikan sembahyang fardhu lima kali sehari semalam.
 
Pada hakikatnya, kekuatan seorang murid Gayong terpancar daripada keupayaan melaksana segala titah perintah Allah S.W.T. dan menjauhi segala laranganNya. Apabila wujud segala sifat, penghayatan beserta amalan dalam konsep yang disebutkan diatas barulah dianggap seorang murid Gayong itu benar-benar menuntut dan mendalami ilmu Silat Seni Gayong. 

 

Ikrar Silat Gayong

 

Bismillahhirrahmannirrahim

Bahawasanya
kami ahli-ahli Gayong mengaku taat setia menjadi murid Silat Seni Gayong dan ahli Gayong

Bahawasanya
Kami mengaku taat setia kepada Allah
Kami mengaku taat setia kepada baginda Rasulullah (s.a.w)
Kami mengaku taat setia kepada guru kami
Kami mengaku taat setia kepada ibu dan ayah kami
Kami mengaku taat setia kepada negara kami
Kami mengaku taat setia kepada saudara se-Gayong dengan kami

Bahawasanya
Kami mengaku taat setia ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong,
Raja Permaisuri Agong dan Sultan-sultan yang memerintah di seluruh Tanah Melayu

Ya Allah Ya Tuhan kami
Kau murahkanlah rezeki kami
Kau panjangkanlah umur kami dan kedua ibu bapa kami
Kau tetapkanlah iman kami
Kau lindungilah kami daripada segala mala petakajin dan iblis dan manusia yang niat khianat ke atas diri kami dan negara kami

Amin Amin Ya Rabbal 'Alamin

Falsafah Silat Gayong

Falsafah Silat Seni Gayong ialah falsafah etika yang membicarakan kaedah pembentukan akhlak terpuji. Ia memupuk peningkatan nilai peribadi daripada segi kualiti, matlamat dan sentiasa bergerak dalam lingkungan pedoman yang diberikan. Falsafah ini juga wujud dalam setiap amalan adat istiadat, peristiwa sejarah, puisi, amanat dan pelajaran Silat Seni Gayong.

Silat

Kalimah Silat Seni Gayong itu sendiri tersirat tiga pengertian yang amat besar. Pengertian yang menjelaskan falsafah utama Silat Seni Gayong. Falsafah yang membezakan Silat Seni Gayong dengan seni silat yang lain. Di dalam Silat Seni Gayong, Silat merupakan segala teknik, kaedah dan langkah pencak yang digunakan untuk membela diri atau melakukan serangan balas. Ia hanya meliputi aspek lahiriah semata-mata.

Seni dalam kontek Silat Seni Gayong pula ialah satu unsur dalaman yang menekankan konsep kerohanian dan pembersihan diri. Ia mendidik dan membentuk pertahanan dan ketahanan jiwa yang sentiasa perlu dibaja dengan makanan kerohanian dan dihiasi adab kesopanan serta akhlak yang terpuji. Manakala Gayong ialah suatu kalimah yang menggariskan sifat peribadi - sifat yang membina unsur silat dan unsur seni dalam jiwa dan jasad seorang murid Gayong.

Oleh itu, falsafah etika ini berkait rapat dengan adat istiadat, pelajaran dan pendidikan yang bertunjangkan ajaran Islam. Ajaran yang menjadi sumber inspirasi, motivasi dan pengawasan untuk membina diri dengan nilai-nilai luhur sebagaimana ia diterima oleh semua agama dan masyarakat yang waras.

Falsafah Silat Seni Gayong daripada satu sudut yang lebih global akan hanya dapat dikupas melalui skop kajian integrasi pemikiran yang luas meliputi aspek sejarah, adat istiadat, pelajaran dan perkembangan Silat Seni Gayong itu sendiri. Hanya mereka yang mendalami ilmu Silat Seni Gayong secara praktikal dan menghayati setiap unsur daripadanya akan dapat menghuraikan Falsafah Silat Seni Gayong dengan tepat dan lengkap.

SEBARANG URUSAN BOLEH DIBUAT MELALUI ALAMAT

 PERTUBUHAN ATAU MELALUI TELEFON

NO. 013-5292452
(Setiausaha PSSGWSM, Kelantan)
 
DAN JUGA MELALUI E-mail WEB MASTER

  kamaruzaman_hashim@yahoo.com.my

 

sswbkecil.jpg

 

LATIHAN DIADAKAN PADA SETIAP HARI ISNIN JAM 9.00 MALAM DI GELANGGANG PUSAT PSSGWSM KELANTAN. ( KHAS UNTUK PEMBANTU JURULATIH, PENOLONG JURULATIH DAN JURULATIH SAHAJA)

 

DI KEMASKINI

18 FEBRUARI 2010

MUKA DEPAN | SEJARAH | CARTA ORGANISASI | AKTIVITI / PELAJARAN | BERITA BERGAMBAR | AMANAT MAHAGURU | LINKS

BEST DISPLAY
1024 x 768 pixels

WEB MASTER